Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH SWT yang bersaudara.

-- HR. Muttafaq `alaih

Ahad, 9 Ogos 2009

sebuah renungan bersama...

“USTAZ, saya tidak puas hati betul dengan keluarga si X, sudah tahu dia tidak sihat, janganlah datang ke program kita, sekarang saya pun dijangkiti selesema ini,” rengus seorang individu di klinik, kebetulan bertemu seorang ustaz.

“Heh, sebab anak kamu pembawa wabak, sekarang ini satu pertiga sekolah kita sudah dijangkiti selesema babi, lain kali kalau sudah ada tanda jangkitan, janganlah datang ke sekolah,” kata seorang guru dengan wajah menyinga kepada bapa seorang murid.


“Alahai macam mana ni, tidak boleh diri dekat sangat dengan dia ini, dia selesema rupanya, nanti kalau aku jarakkan diri dia terasa pula,” monolog hati seorang individu apabila rakannya mengatakan dirinya selesema dan punyai tanda jangkitan selesema babi.

Itu mungkin beberapa dialog yang semakin popular ketika ini. Jika tidak dilafazkan sekalipun, ia mungkin saja bermain di minda dan hati.

Bolehkah kita sedemikian? Apa lagi senarai perlu faham, perlu dan jangan buat di ketika ini?

Wabak selesema babi semakin dahsyat menyerang manusia. Sebelum ini manusia diserang oleh krisis ekonomi hasil tangan mereka sendiri, kali ini krisis bersambung dan berganda dengan serangan krisis kesihatan, juga hasil tangan manusia.

SENARAI PERLU DAN JANGAN

Apa yang perlu dilakukan kini? Saya bukan doktor, namun beberapa nasihat berikut mungkin boleh difahami dan dihayati sebaik-baiknya. Moga kita dapat memanfaatkannya:

1- PENYAKIT BERJANGKIT DAN IMANI QADA’ QADAR

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau terlupa bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas daripada kekuasaan Allah SWT.

Jika kita menyusuri hadis Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati anjuran baginda untuk berhati-hati apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak.

Sudah tentu anjuran baginda itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan berjangkit.

Hadis berikut amat jelas:

“Tiada jangkitan, tiada sial dan tiada hammah (satu kepercayaan jahiliyah iaitu burung yang kononnya tercipta daripada tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata: “Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain.”

Baginda menjawab: “Itulah takdir Allah SWT, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya.” (Riwayat Ahmad)

Allah SWT mengingatkan: “Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan sudah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Al-Hadid: 22)

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita supaya melihat ketentuan Allah SWT sebagai asas sebelum melihat kepada soal sebab dan musabab atau sunnatullah (hukum alam).

Dalam masa sama, Rasulullah SAW turut mengingatkan: “Larilah (jauhilah) mereka yang berpenyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain pula: “Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat.” (Riwayat Muslim)

Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna di antara hadis berkaitan qadar Allah SWT dan saranan menjauhi pesakit berjangkit.

Hakikatnya, tiada percanggahan antara satu sama lain. Perlu difahami bahawa orang Arab di zaman jahiliyah percaya tubuh orang sakit secara automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau takdir.

Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa sama tidak menafikan jangkitan daripada berlaku.

Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda:

1. Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat. Justeru, dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.

2. Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah SWT untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau sebaliknya.

3. Membetulkan kefahaman umat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang daripada orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula menuding jari di antara satu sama lain.

Hasilnya, Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas.

Kebolehjangkitan termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam), cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah SWT.

Pastinya, di musim berlakunya perebakan wabak seperti selesema babi ini, tidak mudah untuk mana-mana individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah SWT.

Itulah sebenarnya satu daripada ujian Allah SWT untuk hamba-Nya, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan pencipta-Nya.

Hanya mereka yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri daripada golongan itu.

JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA

Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selesema ini. Jangan juga marah kepada sesiapa.

Ini kerana, kita tidak akan mampu mengetahui secara pasti dari manakah kita dijangkiti virus terbabit.

Ini kerana, virus selesema boleh saja datang daripada tombol pintu pejabat yang kita pegang, pintu kereta, teksi, tetikus dan sebagainya.

Mungkin ada individu lain yang bersin lalu tangannya memegang semua objek di atas atau berjabat tangan dengan anda sebelum tangannya benar-benar bersih daripada virus.

Mungkin saja kita ingin menyalahkan seseorang yang bersin di depan kita atau duduk di sebelah mereka yang selesema di dalam kereta api atau bas.

Namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita dijangkiti selesema daripada orang terbabit. Besar kemungkinan virus itu menjangkiti kita sejak di stesen kereta api atau bas lagi.

Perlu difahami juga, jarak tebaran kuman daripada seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar empat meter.

Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah SWT untuk menguji kita.

ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK

Elakkan bercampur di tempat awam tanpa keperluan yang mendesak dan adalah baik jika dapat sentiasa membersihkan setiap apa yang ingin kita pegang di tempat awam itu.

Mungkin saja semuanya sudah dicemari oleh virus selesema babi tadi dan sedang menunggu ‘mangsa’ menyentuhnya saja.

Saranan pencegahan ini sesuai dengan hadis di atas dan juga tindakan Nabi Muhammad SAW yang tidak berjabat tangan dengan seorang lelaki menghidap kusta daripada rombongan Bani Thaqif ketika sesi berbai’ah (janji taat setia).

Yang mana Rasulullah SAW diriwayatkan berkata: “Pulanglah, kamu sudah pun dikira berbai’ah.” (Rujuk Sahih Muslim)

Satu lagi sabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu mendengar ada wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu mendengar wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula ada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan itu untuk melarikan diri.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin akan ada yang tertanya-tanya mengapa dihalang mereka yang sihat untuk keluar dari kawasan wabak. Apakah justifikasi arahan baginda sejak 1400 tahun yang lalu itu.

Jawapan diberikan oleh Dr Muhammad Al-Bar (doktor pakar perubatan dan ahli Majlis Fiqh OIC), beliau menegaskan ada individu yang tidak jatuh sakit dengan sesuatu jenis virus manakala sebahagian lain jatuh sakit.

Mungkin saja yang keluar itu sihat tetapi tubuhnya sedang membawa virus dari kawasan wabak. Hasilnya, ketibaannya di tempat baru menyebabkan penyebaran berlaku kepada penduduk setempat dan pasti akan ada sebahagian yang boleh jatuh sakit dengan virus terbabit.

Selain itu, kemungkinan juga individu yang sihat ketika keluar itu, belum terkesan lagi dengan virus yang ada di dalam tubuhnya.

Ini kerana sebahagian virus memerlukan untuk membiak dan mengganggu kesihatan mangsa.

Hasil daripada semua kemungkinan ini, Nabi Muhammad SAW sejak beribu tahun silam, tanpa ilmu mikrobiologi sudah mampu memberi satu peraturan yang bertepatan dengan penemuan sains.

Itulah ilmu yang datang daripada pencipta sekalian alam, Allah SWT.

Dengan fakta ini, kita tidak akan sama sekali mampu meneka siapa yang menjadi punca pemindahan virus kepada tubuh kita.

Ini kerana, bukan saja individu sedang sakit dan selesema yang berpotensi, malah mereka yang sihat juga ada kemungkinan menanggung virus sama sebelum memindahkannya kepada kita melalui sentuhan serta pelbagai lagi.

Itulah takdir namanya dan kita diarah untuk berusaha sedaya mungkin dan reda serta sabar apabila diuji kerana ia semua hanya ujian kecil Allah SWT untuk umat-Nya.

Tiada ulasan:

dengar laaa...